Assalammualaikum dan Salam sejahtera. Bersyukur ke hadrat Allah atas keizinan dan rahmatNya dapat kita bersua kembali dalam wadah blog ini.
Sebelum itu saya ingin mengimbau balik tujuan penubuhan blog ini ialah untuk berkongsi cerita dan pengalaman selain menawarkab peluang kepada sesiapa berminat untuk mempelajar sesuatu daripada hidup ini.
Sejak bidang perubatan Islam mendapat tempat dan disebarkan secara meluas, ramai sudah yang berminat untuk dirawat secara Islami dan patuh syariah tanpa menggadaikan akidah yang suci.
Bahkan ramai yang mahu belajar Alhamdulillah semua itu perkembangan yang baik.
Tujuan kita mempelajari sesuatu ilmu bukanlah untuk mahukan laba semata-mata. Laba atau balasan atau ganjaran pastilah ada sama ada berbentuk ghaibi dan juga fizikal. Usah bimbang akan hal itu laba atau ganjaran. Yang penting ialah kesungguhan kita mahu mempelajari sesuatu ilmu hingga dapat beramal dengan sebaik mungkin.
Nah, di sinilah dapat kita lihat tujuan kita menimba ilmu yakni untuk beramal. Kalau kita beramal tanpa ilmu sia-sialah amalan kita. Kalau kita berilmu tapa amal rugilah kita. Sebab itu berilmu dan beramal mesti bergerak seiring seia sekata.
Dalam pandangan yang lebih luas tujuan kita berilmu dan beramal ialah untuk mendekatkan diri dengan Allah. Apabila kita dekat denganNya Insya Allah, Dia akan sentiasa memerhati setiap tingkah laku hambaNya dengan penuh kasih saying. Dirahmati olehNya. Apabila kita kian dekat denganNya segala Doa kita insya Allah jadi mustajab dan makbul.
Salah satu tanda kita dekat denganNya ialah kita berasa senang untuk beramal ibadah. Badan rasa ringan. Mudah rasa lincah berzikir. Kita takkan mudah merasa jemu dan segala yang selainNya akan ketepi dengan sendirinya.
Sesungguhnya dalam kerangka ibadah kita kepadaNya semuanya itu terangkum dalam kalimah syahadah. Sebab itu antara patah kata orang tua-tua, kandung aku dalam syahadah. Begitu simboliknya kata itu perlu diperhalusi maksudnya secara tersirat atau madluliyah.
Setiap sesuatu simbolik perlu diperhalusi secara yang tersiratnya kerana tanpa memikirkan kearah itu kita akan tersasar jauh daripada memahami akan kemahakuasaan dan kewujudanNya.
Oleh kerana Allah itu bukan berhala yang boleh dilihat dengan mata kasar maka sudha tentu dalam mengabdikan kepadaNya memerlukan mata yang lain dalam melihat wujudNya dengansepenuh yakin.
***
Namun entri ini bukanlah bertujuan untuk memahamkan pembaca seluruhnya. Saya hanya membuka entri ini dengan pembuka bicara berkaitan berilmu dan beramal. Sebenarnya dalam satu tingkat seterusnya skemanya akan jadi begini: Berilmu, Beramal, Berilmu…Ia takkan berhenti pada takat berilmu semata-mata dan beramal semata-mata.
Sebab itu kalau kita lihat di masid-masjid ramai jemaah yang berilmu dan beramal contohnya jemaah itu tahu tentang kelebihan dan kefardhuan solat jemaah. Mereka beramal dengannya. Namun setelah puluhan tahun apakah yang mereka dapat melainkan hanya sekadar beramal?
Sebab amalan itu pastilah melahirkan natijahnya. Natijah daripada beramal itu sering orang menyebutnya sebagai iman, taqwa, akhlak…
Memang benar tetapi jika kita perhalusi lagi ia lebih luas dan merangkumi segala aspek lagi. Sama ada dari segi ghaibinya ataupun secara fizikalnya.
Kita kembali pada jemaah masjid tersebut, mereka bahkan beramal tetapi apakah mereka punya ‘akhlak’ terhadap Alah apabila membuat bising dalam masjid selepas solat dan doa?
Akhlak yang dimaksudkan ini bukanlah suatu pakaian lahir semata-mata tetapi akhlak lahir dari dalam jiwa yang disucikan, dibersihkan dan ditajamkan penglihatan ‘mata’ nya.
Akhlak yang dipakaikan secara lahir akan jadi seperti baju lusuh dan baju yang mudah terkoyak rabak. Sebaliknya akhlak yang lahir daripada dalam diri akan kekal selamanya dan padanyalah ditilik Allah.
Sepatutnya jemaah itu mendiamkan diri sewaktu menyedari ada jemaah yang membaca al-Quran dan berzikir. Mereka tidak harus malu kepada jemaah tersbet tetapi malu pada Allah.
Sukar bukan bagi menghadirkan rasa tersebut jika hendak dibuat-buat semata-mata! Sebab itulah masjid tidak menjadi pusat tumpuan umat Islam kerana fungsinya telah tiada.
Jadi mulai saat ini belajarlah kita dari bawah ilmu. Hanya dengan ilmu sahajalah kita dapat menghubungikan diri kita dengan Tuhan, yakni Allah yang mencipta sekelian alam.
Sedarilah alam dunia ini hanya sementara namun bukanlah kita harus meninggalkan jihad kita, yakni jihad ilmu dan jihad amal. Sebelum kita ke jihad lebih besar yakni jihad nafsu yang juga bermaksud jihad akhir zaman!