Rabu, 30 November 2011

Pengalaman Rakan Seukhwah


Salam sejahtera. Secebis pengalaman rakan seukhwah yang belajar ilmu hikmah sebagaimana yang dipromosikan melalui blog ini.

Kisahnya... 

Pagi tadi saya sempat berchatting dengan rakan seukhwah yang pernah belajar ilmu hikmah dengan saya. Alhamdulillah berkat amalan ilmu hikmah yang dipraktiskan dapatlah dia menggunakan untuk merawat orang disekitarnya dalam pelbagai masalah terutama yang menyentuh alam keghaiban. Biarlah saya namakan dia sebagai J sahaja.

J didatangi oleh rakannya, L yang mendakwa telah belajar sejenis silat batin. Popularnya juga jenama silat batin ini sehingga mendapat pengiktirafan. Namun tidak lama L belajar, sering sahaja didatangi oleh makhluk yang seringkali menindih dan menghimpit tubuhnya sebelum L tidur.

Mulanya L menganggap itu gangguan biasa. L pun mengaktifkan segala ilmu silat batin yang telah dipelajarinya. Namun ia tidak sedikitpun mengubah keadaan malah semakin teruk L diganggu sehingga L meracau-racau saban malam.

Menawarkan diri...

 L mengadu kepada J. J pun menawarkan diri untuk merawat gangguan yang dialami oleh L. L sungguh terkejut kerana selama ini L menyangka J orang awam biasa sahaja yang tidak tahu menahu langsung tentang ilmu kebatinan.

Mereka memasang janji dan apabila tiba hari dan waktunya, L duduk di depan J. Baharu sahaja J hendak memulakan rawatan sambil memperkemaskan silanya, badan L tiba-tiba bergoyang keki dan kekanan. Bagai lalang ditiup angin. J cuba menenangkan L yang dilihatnya hampir kerasukan.

Makhluk Ghaib...

L berusaha mengawal mental dan emosinya daripada dipengaruhi sepenuhnya oleh makhluk ghaib MG yang tidak diketahui mana asal usulnya. L mengatakan tubuhnya bagai diresap oleh sesuatu dan dia merasa macam mahu menurun dan bersilat. J berusaha menenangkanb L daripada berbuat demikian.

Hal ini kerana J bukannya belajar ilmu silat dan sebagainya. J hanya belajar ilmu hikmah dan rawatan Islam daripada saya. Setelah keadaan L dapat dikawal, J meneruskan bacaan dan wiridnya. Masuk pusingan ketiga wiridnya, L mula merasa kepalanya ringan dan tidak lagi merasa seperti mahu menurun atau kerasukan serta mahu bersilat. J berikan air penawar dan menyuruh L agar datang lagi berjumpanya.

Ulasan dan Wejangan

Pertama sekali janganlah kita sesekali membuka diri kita untuk belajar ilmu silat batin yang meragukan. Jika benar-benar mahu belajar pastikan guru tersebut seorang yang kuat berpegang pada syariat. Kedua guru tersebut mudah dirujuk semula. Namun yang dikesali ialah kebanyakan orang suka belajar daripada guru mee segera atau guru yang hanya mementingkan kepingan duit muridnya. Soal yuran dan mahar ilmu memanglah soal yang bersifat hak guru atau perguruan untuk menentukan.

Ia tidak menjadi masalah apa-apa jika yuran atau mahar tersebut dianggap sebagai suatu bentuk infaq murid untuk berjihad di jalan Allah melalui jihad ilmu. Para sahabat nabi pun berjihad dengan mengadaikan harta kekayaan demi melihat kalimah tauhid terus menyinar di bumi Allah ini. Namun malangnya ramai guru mee segera ini bersikap lepas tangan daripada membantu murid apabila murid ragu terhadap amalan ataupun murid mengalami peristiwa aneh dan menakutkan. Mungkin juga guru tersebut sendiri seorang yang aneh dan menakutkan!

Belajar ilmu...

Kedua, dalam menimang kes di atas, J pernah belajar dengan saya ilmu hikmah dan rawatan Islam. J pun menyatakan kepada saya, dia merasa hairan kerana dia belum berbuat apa-apa lagi L sudah mahu kerasukan. Hal ini bukanlah suatu yang ajaib bagi perawat Islam. Keadaan biasa berlaku.

Namun demikian keadaan ini hanya biasa berlaku bagi pengamal perubatan Islam yang sudah bertahun-tahun beramal dengan kombinasi ayat ruqyah dan doa tertentu. Bukannya kursus sehari dua keluar sahaja boleh mengubat orang.

Kursus rawatan Islam Darul Syifa di bawah kelolaan Dr. Haron Din sahaja berjangkamasa selama 2 tahun menghadiri kelas setiap minggu. Namun masa bukanlah segalanya. Dalam silibus ilmu hikmah yang saya kendalikan, calon pelajar hanya perlu menyediakan diri mereka sekurang-kurangnya 1 bulan sebelum bertemu saya.

Ada amalan tertentu dilakukan agar dapat membantu calon pelajar mengusai ilmu hikmah yang diperturunkan. Dengan kaedah tertentu, maka ia banyak membantu memendekkan masa belajar dengan pelajar hanya berjumpa sekali atau dua kali sahaja dan sudha boleh 'berdikari' sendiri.

Apa yang penting amalan hikmah yang diberikan adalah benar dan tepat serta tidak ditokok tambah sewenang-wenangnya. Hal ini kerana saya beranggapan setiap yang mahu belajar ilmu hikmah telah memahami bahawa ini semua terkait dengan amalan dan juga keberkatan.

Ilmu milik Allah...

Di sini saya ucapkan syabas kepada rakan seukhwah saya yang telah menerima bimbingan ilmu hikmah yang saya kendalikan. Sebagaimana saya tegaskan, ilmu hikmah ini dan juga ilmu lainnya atas dunia ini BUKAN milik makhluk. Saya tidak boleh memberi ILMu kepada orang lain melainkan menyampaikan.

Namun penyampaian yang disertai ikhtiyar doa khusus serta beramalnya orang yang menyampaikan ilmu tersebut, maka memudahkan orang yang menerima panduan ilmu hikmah tersebut mendapat limpahan keberkatan. Calon pelajar tersebut berazam beramal dengannya dan ia memanjangkan dan meluaskan saham akhirat jua nantinya insya Allah.

Ini membolehkan sesuatu ilmu hikmah itu dapat dihidupkan dan diimarahkan tidaklah ia mati begitu sahaja ditelan zaman. Tidaklah sesuatu ilmu itu pupus dan mati bersama matinya di pengamal ilmu tersebut yang sudah pasti ia pasti merugikan umat terkemudian. Ilmu adalah sebahagian daripada rahmat Allah Ta'ala.

Orang yang berilmu Allah janjikan mobiliti darjat ke tingkat yang lebih tinggi daripada orang yang tidak berilmu. Jadi beruntunglah bagi sesiapa yang berilmu, beramal dengan ilmunya, memanfaatkan ilmunya untuk masyarakat sejagat serta menyebarkan ilmu itu ketengah masyarakat. Allah Maha Mengetahui apa yang kita lakukan dan sudah pasti segala amalan kita pasti diberikan ganjaran olehNya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ADA PADLOCK DI ATAS BATANG LEHER TOK GURU

ADA PADLOCK DI ATAS BATANG LEHER TOK GURU Salah satu kes yg pernah saya tangani ialah kes gangguan keatas seorang Tok Guru yg terkenal.  Pad...