Rabu, 16 April 2014

Didatangi cahaya terang dan indah mengaku Tuhan

Assalammualaikum.


Di sini kami ingin menyeru pembaca sekelian agar berwaspada dengan mainan tipu daya iblis, syaitan, jin dan sekutunya.

Dalam menempuh kehidupan ini kita pasti akan menemuinya walau dengan cara yang tidak pernah difikirkan oleh akal fikiran.

Serangan tipu daya musuh adalah ujian bagi setiap hambanya. Tidak terkecuali hatta hambanya itu setinggi mana pun ilmu dan sesoleh manapun dia.

Bahkan lagi tinggi kadar iman dan taqwanya di sisi Allah maka lagi tinggilah tipu daya iblis. Tipu daya itu berlaku sama ada secara bisikan mahupun secara penjelmaan terus mereka menganggu kita!

Ini biasa berlaku pada para wali Allah. Misalnya sebagaimana peristiwa yang dialami oleh Ketua Para Wali Allah Syeikh Abdul Qadir al Jailani Qaddasallahu. Setelah Syeikh Abdul Qadir menguasai keseluruhan ilmu Islam dari ramai ilmuwan khususnya di Kota Baghdad hingga ketaraf Mujtahid Syeikh Abdul Qadir Jailani telah memencilkan diri selama hampir 25 tahun di pinggir Baghdad dimana terdapat bangunan usang di sana.

Syeikh ‘Uthman as-Sarafini menukilkan pengalaman Syeikh Abdul Qadir Jailani bersumberkan kitab Qala’id Al-Jawahir.  Syeikh Abdul Qadir menceritakan…

“Aku duduk di persekitaran runtuhan Kota Baghad siang dan malam. Jin suka menghampiri aku dengan dengan berbagai rupa dan pangkat, menyamar sebagai manusia. Mereka  menyerang aku dengan berbagai senjata dan menyembur aku dengan api. Dalam keadaan demikian pun, aku melihat keteguhan keyakinan dalam hati yang luar kemampuan untuk dinyatakan dengan kata-kata. Aku mendengar suatu suara berkata jauh di dalam batinku, “Ya, Abdul Qadir! Bangun dan serang jin-jin itu, kerana Kami telah menanamkan kekuatan luarbiasa dalam diri kamu yang tak dapat dikalahkan. Dan Kami telah datang untuk menyokong kamu dengan bantuan tentera yang tersembunyi”

Memang benar sebaik sahaja aku bangun menyerang jin-jin jahat itu, mereka akan lari lintang pukang, pulang dari mana mereka datang.”

“Kemudian seekor jin datang bersendirian dan berkata kepada aku, “Pergi daripada sini atau aku akan buat ini dan itu kepada kamu!”

Dia memberi amaran dan cuba menakut-nakutkan aku. Tetapi aku terus menampar jin yang mengancamku itu, lalu aku membaca, La hau la wala quwwata illa billah hil aliyil azim yang bermaksud Tiada daya upaya melainkan daya dan kekuatan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Besar. Kemudian aku melihat jin itu terbakar lalu menghilang daripadaku.

Satu ketika lain, aku didatangi satu lembaga yang rupanya sangat buruk dan menjijikkan, dia berkata, “Aku Iblis. Aku datang untuk berkhadam kepada engkau kerana engkau telah menggagalkan semua rancangan dan usaha aku. Engkau telah binasakan semua usaha konco-konco aku.

Aku tidak langsung gentar sebaliknya aku katakan kepada Iblis, “Pergilah engkau daripada sini kerana aku tidak percaya pada engkau.” Pada masa itu satu tangan turun dari atas lalu menghentam kepala iblis tersebut menyebabkan Iblis itu jatuh tersungkur ke bumi.

Kemudian Iblis datang kepadaku kali kedua. Cuba menyerang aku dengan anak panah berapi. Ketika itu, seorang lelaki memakai penutup muka muncul menaiki seekor kuda dan menghulurkan sebilah pedang kepadaku. Iblis serta merta berundur!

Kali ketiga aku melihat iblis sedang duduk agak jauh daripadaku. Iblis sedang mengesat airmatanya dan menyapu debu atas kepalanya. Iblis berkata. “Aku telah berputus asa dengan engkau ya Abdul Qadir!

Aku berkata keras kepada iblis, “Pergi engkau daripada sini wahai engkau yang dilaknat Allah!”

Setelah iblis berputus asa menggoda dan menyusahkan Shaikh Abdul Qadir Jilani, Iblis menyamar sebagai satu cahaya yang sangat terang benderang dalam rupa yang amat indah. Cahaya terang dan indah itu lalu muncul di hadapan Syeikh seraya berkata:

“Ya Abdul Qadir, aku Tuhanmu. Oleh kerana engkau telah bersungguh-sungguh mujahadah padaku maka pada hari ini aku telah menghalalkan bagi kamu segala yang aku haramkan!”

Maka segera Syeikh menyahut, “A’uzhu billahi mina-asy-syaitanir-rajim...pergiah engkau wahai Iblis yang dilaknat.”

Ketika itu cahaya seperti kepulan awan itu bertukar menjadi asap pekat dan gelap. Dan terlihatlah Iblis. Lalu Iblis itu berkata, “Ya Abdul Qadir, bagaimana engkau tahu aku ini Iblis?” Sedangkan berapa banyak para wali Allah dan orang alim telah aku sesatkan sebelum kamu dengan cara ini.”

Syeikh menjawab, “Allah Ta’ala telah menyatakan hukum di dalam Al-Qur’an. Dan dia tidak pernah menghalalkan yang haram”. Maka aku tahu tentu engkau Iblis.

Iblis menjawab, “Engkau telah selamat disebabkan ketinggian ilmu engkau”

Syeikh menjawab kembali, “Binasalah engkau wahai iblis! Aku terselamat bukan kerana ilmuku tetapi kerana Rahmat Tuhanku.” Maka kembalilah Iblis berputus asa tak dapat menggoda Syeikh Abdul Qadir

Di tangannya lebih 5,000 orang Kristian dan Yahudi memeluk Islam. Lebih kurang 100,000 orang perompak bertaubat kepada Allah.

Berdasarkan pengalaman Syeikh Abdul Qadir Jailani ini dapatlah kita ambil pengajaran bahawa iblis dan sekutunya tidak pernah berputus-asa untuk menyesatkan anak Adam.

Sehinggakan menyamar dalam bentuk Cahaya yang terang dan indah. Penyamaran yang seperti ini selalu berlaku pada salik yang bersuluk kehadiran cahaya dalam pelbagai warna dan menjelma mengaku Tuhan dan sebagainya.

  Jadi berwaspadalah kita dalam kehidupan ini. Khususnya bagi salikin, pengamal ilmu hikmah dna kebatinan, jelmaan iblis dan syaitan sebagai Tuhan, malaikat dan nabi tertentu sangat menipudayakan sekali. Apatah lagi kalau jelmaan yang mengaku itu dan ini kita jadikan sebagai sandaran dalam kehidupan ini sama ada sebagai medium pengubatan dan juga pemerolehan ilham kerana semestinya ia mengheret kita ke jalan kesesatan sedikit demi sedikit.

Melainkan makhluk itu datang dengan sendirinya namun dari segi akhlak sufi sejauh mungkin hindarilah daripada ia berdamping dengan kita. Sekalipun Syeikh Abdul Qadir Jailani tidak pun menekan siapa yang menolongnya sama ada malaikat atau makhluk Allah yang lain. Tetapi kita berani pula membuat satu doa permohonan atau rangkaian bacaan tertentu dengan kononnya memohon khodam dan malaikat daripada Allah untuk menolonng kerja dunia kita maka ini membuka ruang besar terhadap kesesatan.

 Semoga kita sentiasa mendapat hidayahNya dan terselamat daripada tipu daya iblis dan sekutunya. Allahurabbi!

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Gemblengan Ilmu di Gunung Jerai Panggilan Akhir

Salam. Siapa yg berhajat utk menuntut ilmu2 kebatinan aliran haq dan putih saya ada buat di Gunung Jerai dlm pd 1 hingga 3 Disember ini.  ...