Rabu, 21 Mei 2014

Fadhilat zikir menurut tasawuf dan sufi



 
Jalan dekat 

Menurut Ustaz Abu Ali ad-Daqaq, zikir itu ialah suatu rukun yang kuat dalam perjalanan untuk sampai kepada Allah ta'ala malahan ia lebih kuat dipegangi oleh yang suluk (kaum sufi yang beruzlah atau mengasingkan diri daripada masyarakat untuk mendekatkan diri kepada Allah melalui jalan penyucian hati menurut kaedah sufiah) mengikuti jalan ini. Seseorang tidak akan sampai ke hadrat Allah (syuhud) melainkan dengan membanyakkan dan mengekalkan zikir kepada Allah.
 
Saiyidi Ali al-Murshifi rahimahullahu ta'ala menyebut, zikir untuk menyucikan hati seperti pasir kasar yang menghilangkan karatnya besi. Dan ibadat lain selain zikir yang bertujuan menyucikan hati ibarat sabun yang cuba membersihkan karat besi. 
 
Menurut Syeikh Mustafa al-Bakri rahimahullahu ta'ala, jalan paling dekat sampai kepada Allah ialah membanyakkan zikrullah kerana sesungguhnya ahli zikir itu ialah Ahlullah dan golongan khawash dan sebagai teman duduk ke hadrat Allah Ta'ala.
 
Rasulullah s.a.w bersabda zikir adalah penawar hati. Hadis ini bermaksud menyucikan hati daripada segala sifat keji.
 
Syeikh Abdul Wahab as-Sya'rani rahimahullahu ta'ala berkata ketahuilah hanya dengan melalui zikrullah secara berkekalan itu akan memadamkn segala penyakit batin iaitu kibir, riya', prasangka, hasad dengki, dendam kesumat, khianat, menipu, suka dipuji dan sebagainya.
 
Syeikhuna Saiyidi as-Syeikh Muhammad Samman Qaddasallahu ruhahu dalam wasiatnya berkata, suruhlah manusia supaya berzikir iaitu membanyakkan zikir La ilaha illallah kerana dinukilkan oleh Sultan al-Asyikin Quthbil Arifin Maulana Asy-Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani  Qaddasallahu  sirrahu bahawa apabila dia didatangi seorang penyamun Syeikh Abdul Qadir berkata kepada penyamun itu, sebutlah La ilaha illallah dan banyaklah olehmu menyebutnya.

Begitu juga apabila Syeikh Abdul Qadir didatangi oleh peminum arak dan pelaku zina. Sebutlah olehmu akan La ilaha illallah. Dengan keberkatan kalimah tauhid itu banyak antara mereka telah bertaubat kepada Allah dan menyebabkan para pelaku dosa diterima taubatnya dan berubah menjadi ahli ibadah.

Mahsyurkanlah La ilaha illallah!

Berkatalah Syeikh Samman lagi dalam wasiatnya, wahai saudara-saudaraku suruhlah manusia kecil besar, lelaki perempuan, orang muda dan orang tua, supaya menyebut La ilaha illllah dan perlihatkanlah dan mahsyurkanlah kalimah tauhid tersebut bersama ramai orang sama ada di zawiah atau di baitul ibadah atau di masjid atau di rumah atau dijalan raya atau di pekan-pekan atau di tempat-tempat lain, dan janganlah kalian menghiraukan teguran orang ramai atau mempedulikan kata-kata orang terhadap kalian kerana yang demikian itu (menyebut kalimah tauhid dan memahsyurkannya) tidak menunjukkan kekurangan kalian akan tetapi meningkatkan derajat dan memperolehi kesejahteraan di sisi Allah Ta'ala.
 
Syeikh Abdul Wahab as-Sya'rani rahimahullahu ta'ala berkata, dinukil daripada Syeikh Ibrahim al-Waliyullah dari negeri Mesir, ketahuilah bahawa seseorang tidak akan sampai ke hadrat Allah melainkan dengan membanyakkan zikrullah.

Menurut Syeikh Abdul Wahab Sya'rani rahimahullahu ta'ala, kami ahli thariqatus shufiyyah berkata: Wajib bagi syeikh mursyid menyuruh muridnya yang salik membanyakkan zikrullah melalui lidahnya dengan suara yang keras lantas dan kuat (jahar) serta dengan penuh keazaman dan himmah. Apabila telah tetap hal demikian Syeikh Mursyid akan menyuruh muridnya menyelaraskan zikir diantara hati dan lidahnya.

Syeikh Mursyid berkata, kekalkanlah terus zikrullah kerana engkau (salik) berada di hadrat Allah Ta'ala bersama-sama hadirnya hati kalian. Janganlah kalian tinggalkan daripada membanyakkan zikrullah itu sehinggalah berlakunya hal kepadamu dan anggota tubuhmu sekeliannya turut serta menyebut zikrullah serta tidak lalai kepada Allah.

Mematahkan serangan syaitan

Berpesanlah Syeikh Ibrahim al-Matbuli rahimahullahu ta'ala, perbanyakkanlah kalian berzikir kepada Allah kerana disebabkan zikrullah diturunkan hujan rahmat Allah dan membanyakkan zikrullah menghilangkan kesusahan hati, menghapuskan kekerasan hati, melenyapkan penyakit batin, mematahkan tipu muslihat serangan syaitan dan sekutunya, menolak bencana dan bala bencana dan menghalang daripada syaitan menunggangi kalian. Faedah-faedah zikir itu tidak terkiralah banyaknya.
 
Sayyidi Abu Madyan at-Talemsani berkata, barangsiapa yang banyak dan berkekalan (istiqomah) dengan zikir kepada Allah nescaya hatinya akan menjadi jernih dan tetap tertuju ke hadrat Allah.
 
Syeikh Abdul Wahhab as-Sya'rani rahimahullahu berkata, yang dimaksudkan dengan hadrat Allah Azzawajalla iaitu apabila diluahkan oleh kaum sufi ia bermaksud Syuhud hamba Allah seolah-olah berada di hadrat Allah yakni hatinya sentiasa mengingati Allah setiap detik, melihat setiap tingkah laku sebagai Af'al (perbuatan) Allah Ta'ala.
 
Inilah makam ainul yaqin  dan haqqul yaqin. Ia juga dkenali sebagai musyahadah iaitu Syuhud hati sentiasa kepada Allah sebagaimana disebutkan oleh Rasulullah sebagai Ihsan. Sabda Rasulullah, ihsan itu ialah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya dan jika engkau tiada melihatNya , Allah tetap melihatmu.
 
Selain zikir La ilaha illallah terdapat juga zikir Ismu Zat iaitu zikir Allah yang ditarik dari pusat lalu ditahan di qalbu dizikirkan kalimah Allah sebanyak-banyaknya bagi membersihkan hati.
 
Antara peranan Syeikh Mursyid Tariqat selain daripada melengkapi muridnya dengan syariat dan ibadat fardhu dan fiqh,  seorang mursyid juga akan menyuruh muridnya membanyakkan zikrullah iaitu dengan menyebut zikir Ismu Zat Allah semasa berdiri, berbaring dan duduk. Pada setiap waktu dan ketika agar gerak gerinya tidak kosong daripada zikrullah.
 
Ini namanya zikir khafi manakala zikir La ilaha illallah disebut juga sebagai zikir jahar...bersambung insya Allah.
 
Komentar Ustaz Tabib tentang wasiat-wasiat dan panduan daripada para masyaikh-masyaikh di atas...

 Zikir La ilaha illallah dan zikir Ismu Zat Allah mempunyai kaifiat tertentu yang harus dipelajari secara berguru.

Walaupun secara asasnya kita boleh berzikir seperti mana kita tahu (yang hakikatnya kita tidak tahu dan hanya meniru perlakuan orang lain semata-mata) tetapi zikir secara sewenangnya tidak akan memberi banyak memberi kesan kepada penyucian hati. 

Contohnya kita selalu lihat orang awam berzikir tahlil untuk kenduri arwah atau majlis kesyukuran. Lantunan zikir kalimah tauhid tidak mantap dan tidak betul cara sebutannya.

Ibarat memanah tetapi jauh tersasar dari sasaran yang semestinya. Sebab itu kita dapat lihat ketika orang bertahlil ada Jemaah boleh lagi tergelak, tersenyum, berbual dengan rakan, matanya meliar kekiri dan ke kanan, fikirannya menerawang tentang makanan, keduniaannya. Pengucapan zikir juga tidak mantap tidak sesuai dengan arahnya perjalanan nafas.

Jadi zikir tahlil yang dilakukan kebanyakan orang awam di mana-mana kini hanyalah memenuhi adat semata-mata. Kerana menghadiri kenduri arwah dan sebagainya bukannya untuk sampai ke hadrat Allah. Meskipun demikian ia tetap dikira bernilai ibadah dan tetapi diberi pahala oleh Allah.

Jadi untuk merasai zikir yang benar-benar berkesan pada qalbu hingga menyuci dan menjernihkannya daripada segala melalaikan maka dianjurkanlah agar kita mencari mana-mana tariqatus sufiah yang muktabar dan sanadnya bersambung sampai ke Rasulullah s.a.w agar kita merendahkan diri dan ego membuang pangkat kebesaran dan kenamaan kita untuk berbaiah dan bertalqin zikir dengan syeikh mursyid agar ditunjukkan dimana kedudukan diri kita yang sebenar-benarnya agar kembali kita daripada 'lupa diri atau lupa daratan' kepada 'tahu diri dan tahu dimana bumi dipijak dan tahu dimana langit dijunjung.'

Allahukahbar!

Hati yang suci akan melahirkan tubuh badan zahir dan batin yang sihat wal afiat. Inilah sebenar-benar takrif sihat bukannya sihat dari segi aspek tubuh fizikal semata-mata sebagaimana standard amalan kesihatan moden alopathi yang nilai ukuran empirikal pada fizikal dan jasmaniah semata-mata.

Walhal hati dan batin dicemari dengan dosa, racun, kotoran, sifat keji dan lain-lain.

Hati yang kotor akan menyebabkan tubuh fizikal yang sihat akan sakit juga akhirnya atau secara perlahan-lahan atau boleh secara mengejut mengalami sakit.

Insya Allah kami dapat berkongsi dengan lebih lagi kepada pembaca yang terbuka hati mengikuti Program Gemblengan Ilmu Hikmah Nur Makrifah (IHNM) kami anjurkan berkenaan zikir, tatacaranya, penerangannya dan ijazahnya.

Silalah menghubungi dengan kami melalui nombor telefon dan emel seperti tertera di atas.

Entri ini hanyalah rangsangan berupa inti sari maklumat sahaja bukannya suatu kaedah mengamalkan sesuatu ilmu dan zikir kerana untuk mengetahui kaedah cara dan penjelasan lebih mendalam haruslah belajar dengan cara sistematik biar berguru biar berkitab biar mengahadap biar berijazah biar bersetia biar bersatu padu biar berkenal akrab kerana perjalanan rohani terlalu payah dan seru dimestikan bimbingan yang sebetul-betulnya.

Wallahualam bissawab.
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengajian ilmu rawatan jurus al haq

Jurus al-Haq saya ajar sangat simpel tak perlu berlatih pernafasan cukup saya melukiskan rajah jurus secara ghaib dan membuat pengisian kpd ...