Khamis, 26 Jun 2014

Karamah Wali Allah, Sufi, Arifbillah dan Ahli Zikir

Assalammualaikum.

Inilah kitab yang dimaksud. Pernah dengar ustaz bagi ceramah tasawuf dengan membuka kitab ini tetapi sangat langka ustaz berani sentuh bab karamah dan bab yang menyatakan secara khusus pentingnya berthariqat/ahli zikir kerana mungkin dikhuatiri fitnah atau sendiri meragui sebahagian isi kitab ini. Kalau akhlak tasawuf hendak pula dibacakannya di tengah kuliah masjid.
 
Tapi bab ini tak mau sebut. Sebab apa? S
 
Sebabnya ustaz itu pun mungkin tak menerima konsep thariqat dan baiah zikir serta jalan kebatinan yang harus dilalui selangkah demi selangkah oleh salik. Jadi kejutan budayalah bila membaca bab seperti ini.
 
Sewajarnya ajarlah diri sendiri tak usah malu rendahkan diri cari mursyid mana-mana thariqat (thariqat dinamakan hanya dinisbahkan kepada tokoh pengembangnya namun hakikatnya semua thariqat sama sahaja matlamat akhirnya).
 
Kita kagum dengan akhlak tasawuf tetapi kita tidak mahu ikut jalan cara bagaimana nak mencapai akhlak tasawuf tersebut. Ingat, nafsu tidak boleh dididik, ditundukkan, disucikan dengan akal logika. Hanya dengan hidayah Allah menerusi tali emas persambungan wayar kerohanian dari mursyid/syeikh ke mursyid/syeikh di atasnya hingga sanadnya sampai ke Rasulullah s.a.w, Jibril alaihisalam hingga Allah Jalla Jalaluh.
 
Tanpa baiah, ijazah zikir, amalan, laku khusus spiritual dibimbing sang syeikh dan mursyid yang lebih dahulu mendahului kita tentulah pencapaian agung seperti akhlak tasawuf yang didamba-dambakan untuk memperolehinya takkan tercapai sampai mati bertemu Allah kembali.
 
Jadi bertindaklah sekarang, pernyataan karamah di bawah bukan hendak mempengaruhi anda memilih thariqat hingga menjadikan ia NIAT ANDA kerana NIAT haruslah kerana Allah, mencari mardhatillahi ta'ala semata-mata.
 
Al-Palimbani memasukkan karamah ini hanya untuk menggalakkan dan menaikkan semangat sahaja bagi kita orang awam ini untuk bersungguh segera mencari jalan kepadaNya dengan thariqah, baiah dan mursyid.
 
Jangan jadi seperti sesetengah kalangan kita yang akan memfitnah, itulah ahli sufi nak keramat saja walhal untuk pengetahuan anda ajaran tasawuf itu sendiri hatinya batinnya agama Islam tidak diajar yang masiwallah (selain Allah) hanya ditujukan kepada Allah (As-Somad) semata-mata.
 
Jadi marilah kita sama-sama mencari jalan kepadaNya kerana sesiapa mencari jalan kepadaNya dengan bersungguh-sungguh nescaya "Kami akan membukakan jalan seluas-luas kepadanya menuju Kami."

Karamah hanya galakan bukan tujuan dan niat utama ahli sufi




Menurut Syeikh Abdul Samad Palimbani menerusi kitab Siyarus Salikin yang sudah diterima umum, terdapat di masjid-masjid dan surau-surau serta digunakan sebagai buku teks di sekolah pondok, sekolah agama, dijadikan rujukan dan kajian di peringkat universiti sama ada untuk pengajian sarjana muda, sarjana dan ijazah kedoktoran terdapat 40 karamah bagi wali Allah, sufi, arifbillah dan ahli zikir iaitu 20 karamah berlaku di dunia dan 20 karamah berlaku di akhirat.

Jika anda hendak menolaknya maka carilah kitab ini dahulu dan kajilah sedalam-dalamnya. Bertanyalah kepada orang yang arif dalam bidang tasawuf.

Kalau nak tanya mufti pun boleh silalah bertanya ke mufti Negeri Sembilan yang popular sebagai pusat pengembangan Thariqat Ahamdiah Idrisiah yang menerima thariqat sebagai alat mendidik akhlak dan rohani ummat Muhammad s.a.w di akhir zaman ini.

20 karamah di dunia

1. Allah menyebut dan memujinya
2. Allah berterima kasih dan menyanjungnya.
3. Allah menyayanginya.
4. Allah menjadi wakilnya.
5. Allah menjamin rezekinya.
6. Allah menjadi penolongnya daripada makhluk yang jahat.
7. Allah menjinakkan hatinya.
8. Allah memuliakannya, dijauhkan penghinaan manusia dan dipelihara dari kekuasaan penguasa.
9. Allah mengurniakan himmah yang tinggi kepadanya menjadikan dia tidak dicemari kotoran duniawi, hiasan dunia dan hiburan dunia yang sia-sia.
10. Allah mengkayakan hatinya  dan melapangkan dadanya dan tidak dapat ditakuti oleh segala sesuatu.
11. Allah menerangkan hatinya hingga dengan nur basirah menyuluh rahsia ilmu yang halus-halus dan memahami ilmu hikmah yang tidak dapat dicapai ulama feqah.
12. Allah meluaskan hatinya tidak dibimbangkan dengan dugaan dunia tidak berasa susah hati kerana disakiti oleh orang lain
13. Allah menjadikan dia memberi kesan kepada hati orang disekelilingnya hingga dihormati oleh golongan Akhyar iaitu golongan yang baik dan golongan Asyrar iaitu golongan orang yang jahat.
14. Allah mengurniakan rasa mahabbah (kasih sayang) kepadanya hingga orang sekelilingnya menyayangi dan mentakzimkannya.
15. Allah memberikan keberkatan(barokah) yang melimpah-ruah atas setiap percakapan, perbuatan, pakaian, tempat hingga orang sekelilingnya mendapat berkat daripada tanah yang dipijaknya.
16. Allah menundukkan baginya bumi, darat dan laut sehingga jika dia mahu berjalan di udara  atau berjalan di atas air atau menjelajah ke seluruh pelusuk bumi dalam tempoh masa kurang daripada 1 jam sahaja (kun fayakun). Misalnya kalau dari Tanah Jawa ke negeri Makkah hanya selangkah sahaja (hanya beberapa saat)
17. Allah menundukkan baginya segala haiwan liar dan buas hingga haiwan liar dan buas itu jinak dan menyayanginya. Bahkan dengan izin Allah haiwan liar dan buas seperti harimau dan ular besar itu boleh datang kepadanya dan mengadu kepadanya hal masing-masing. Malah dengan izin Allah dapat juga diperintah haiwan liar melakukan sesuatu dan menunggang haiwan tersebut sebagaimana diceritakan dalam kitab tasawuf mengenai hikayat karamah wali Allah zaman dahulu kala hingga zaman kini.
18. Allah mengurniakan kepadanya anak kunci  perbendaharaan bumi jika dia mahu  dia dapat memukulkan tangannya ke bumi maka perbendaharan bumi menjadi miliknya. Jika dia mahu dia menghentakkan kakinya ke bumi maka terpancutlah mata air.
19. Allah menjadikannya seperti wazir atau menteri atau bendahari yang menyampaikan segala hajat keperluan makhluk Allah Ta'ala. Sekelian manusia memerlukannya sebagai wasilah yang menyampaikan hajat mereka kepada Allah.
20. Allah mustajabkan doanya, jika dia bersumpah dengan nama Allah nescaya Allah mengurniakan apa yang dimahukan olehnya, sehingga jika dia memberi isyarat kepada sebuah gunung maka gunung tersebut dapat lesap. Tanpa perlu lisan jika terlintas sesuatu di hatinya nescaya benda itu berada di hadapannya.

20 Karamah di akhirat

1. Allah memudahkan sakaratulmaut baginya
2. Allah menetapkan hatinya semasa di dalam kubur di alam barzakh hingga kiamat
3. Allah memberi limpah kurnia dan rezeki kepada rohnya dengan keselesaan dan raihan yakni bau-bauan dan nikmat dalam kubur, dia dijauhkan daripada rasa takut apa yang bakal diterimanya di akhirat dan tidak merasa dukacita apa yang ditinggalkannya di dunia.
4. Allah memasukkannya ke dalam syurga dan karib dengan Allah.
5. Allah mengurniakan kehidupan di dalam rahsia untuk rohnya di kalangan para malaikat di tujuh petala langit dengan penuh kemuliaan dan anugerah daripada Allah dengan beberapa nikmat dan jasadnya  ketika mati di dunia itu dengan jenazahnya ditakzimkan oleh manusia bersesak-sesak untuk mensolatkannya dan segera mentajhiz-nya dengan masing-masing mengharap akan mendapat pahala besar berkat yang banyak.
6. Allah menyelamatkannya daripada soalan dan fitnah pertanyaan kubur dari malaikat Munkar dan Nakir. Selamat dari siksa kubur.
7. Allah melapangkan, menerangkan kuburnya laksana taman syurga hingga kiamat.
8. Rohnya mesra dan dmuliakan serta dibawakan dalam perut burung hijau beserta saudara-saudaranya orang-orang salih dengan masing-masing bergembira terhadap limpah kurnia Allah.
9. Allah mengurniakan kebesaran, kemuliaan kepadanya di padang mahsyar kelak dengan pakaian emas, perak, mahkota di kepala sambil menunggang Buraq.
10. Wajahnya putih bersih jernih berseri-seri di akhirat kelak.
11. Allah menyelamatkan dia daripada kesusahan dan haru-biru kiamat .
12. Sedikit hisab ke atasnya bahkan ada masuk syurga tanpa hisab.
13. Mengambil buku amal dengan tangan kanan ada yang tidak mengambil buku amalan sama sekali iaitu terus masuk ke syurga .
14. Berat neraca timbangan amal dan kebajikannya di hari kiamat. Ada yang tidak ditimbang tetapi terus ke syurga Allah.
15. Akan dibawa ke telaga al-Kautsar milik baginda Rasulullah s.a.w. Dia minum airnya seteguk dan tidak merasa dahaga selamanya.
16. Meniti titian siratal mustaqim dengan cepat laksana kilat terselamat dari sambaran api neraka hingga ada yang tidak mendengar sedikit pun bunyi ngauman neraka bahkan api neraka terpadam ketika dia melaluinya.
17. Dia akan memberi syafaat kepada murid-muridnya (guru/mursyid ke atas muridnya) dan orang yang disayanginya di hari kiamat seumpama syafaat Nabi dan Rasul, selawat dan salam Allah ke atas mereka.
18. Menghuni syurga selama-lamanya.
19. Dapat keredhaan Allah yang paling besar dan utama.
20. Dapat menemui dan melihat Allah Ta'ala Tuhan semesta alam iaitu Ilahil-Awwalin Wal Akhirin di akhirat  dengan penglihatan yang tidak dapat hendak dibandingkan sama sekali.

Subhanallah! Maha Suci Allah daripada rupa dan warna, bukan jisim dan bukan 'aradh daripada 'aradh-'aradh, tidak bertempat, tidak berpihak, tidak menyerupai sesuai yang baharu seperti firman Allah dalam surah As-Syura ayat 11 yang bermaksud, "Tiada sesuatu yang menyerupai Allah Ta'ala dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat."

Ya Allah, semoga kami termasuk golongan mereka yang Dikau anugerahkan nikmat  bukannya mereka yang dikau murkai dan sesat. Wallahul haadii ila Siratim Mustaqim-Hanya Allah sahajalah memberi Petunjuk ke Jalan Yang Lurus!

Sollallahu ala Muhammad
Sollallahu ala wassalam

Amin Ya Allah!
Amin Ya Allah!
Amin Ya Allah!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ADA PADLOCK DI ATAS BATANG LEHER TOK GURU

ADA PADLOCK DI ATAS BATANG LEHER TOK GURU Salah satu kes yg pernah saya tangani ialah kes gangguan keatas seorang Tok Guru yg terkenal.  Pad...