Di sini kami ingin
menyeru pembaca sekelian agar berwaspada dengan mainan tipu daya iblis,
syaitan, jin dan sekutunya.
Dalam menempuh
kehidupan ini kita pasti akan menemuinya walau dengan cara yang tidak pernah
difikirkan oleh akal fikiran.
Serangan tipu daya
musuh adalah ujian bagi setiap hambanya. Tidak terkecuali hatta hambanya itu
setinggi mana pun ilmu dan sesoleh manapun dia.
Bahkan lagi tinggi
kadar iman dan taqwanya di sisi Allah maka lagi tinggilah tipu daya iblis. Tipu
daya itu berlaku sama ada secara bisikan mahupun secara penjelmaan terus mereka
menganggu kita!
Ini biasa berlaku
pada para wali Allah. Misalnya sebagaimana peristiwa yang dialami oleh Ketua
Para Wali Allah Syeikh Abdul Qadir al Jailani Qaddasallahu. Setelah Syeikh
Abdul Qadir menguasai keseluruhan ilmu Islam dari ramai ilmuwan khususnya di
Kota Baghdad hingga ketaraf Mujtahid Syeikh Abdul Qadir Jailani telah
memencilkan diri selama hampir 25 tahun di pinggir Baghdad dimana terdapat
bangunan usang di sana.
Syeikh ‘Uthman
as-Sarafini menukilkan pengalaman Syeikh Abdul Qadir Jailani bersumberkan kitab
Qala’id Al-Jawahir. Syeikh Abdul Qadir
menceritakan…
“Aku duduk di persekitaran
runtuhan Kota Baghad siang dan malam. Jin suka menghampiri aku dengan dengan
berbagai rupa dan pangkat, menyamar sebagai manusia. Mereka menyerang aku dengan berbagai senjata dan
menyembur aku dengan api. Dalam keadaan demikian pun, aku melihat keteguhan
keyakinan dalam hati yang luar kemampuan untuk dinyatakan dengan kata-kata. Aku
mendengar suatu suara berkata jauh di dalam batinku, “Ya, Abdul Qadir! Bangun
dan serang jin-jin itu, kerana Kami telah menanamkan kekuatan luarbiasa dalam
diri kamu yang tak dapat dikalahkan. Dan Kami telah datang untuk menyokong kamu
dengan bantuan tentera yang tersembunyi”
Memang benar sebaik
sahaja aku bangun menyerang jin-jin jahat itu, mereka akan lari lintang pukang,
pulang dari mana mereka datang.”
“Kemudian seekor
jin datang bersendirian dan berkata kepada aku, “Pergi daripada sini atau aku
akan buat ini dan itu kepada kamu!”
Dia memberi amaran
dan cuba menakut-nakutkan aku. Tetapi aku terus menampar jin yang mengancamku
itu, lalu aku membaca, La hau la wala quwwata illa billah hil aliyil azim yang
bermaksud Tiada daya upaya melainkan daya dan kekuatan Allah yang Maha Tinggi lagi
Maha Besar. Kemudian aku melihat jin itu terbakar lalu menghilang daripadaku.
Satu ketika lain,
aku didatangi satu lembaga yang rupanya sangat buruk dan menjijikkan, dia
berkata, “Aku Iblis. Aku datang untuk berkhadam kepada engkau kerana engkau
telah menggagalkan semua rancangan dan usaha aku. Engkau telah binasakan semua
usaha konco-konco aku.
Aku tidak langsung
gentar sebaliknya aku katakan kepada Iblis, “Pergilah engkau daripada sini
kerana aku tidak percaya pada engkau.” Pada masa itu satu tangan turun dari
atas lalu menghentam kepala iblis tersebut menyebabkan Iblis itu jatuh
tersungkur ke bumi.
Kemudian Iblis
datang kepadaku kali kedua. Cuba menyerang aku dengan anak panah berapi. Ketika
itu, seorang lelaki memakai penutup muka muncul menaiki seekor kuda dan
menghulurkan sebilah pedang kepadaku. Iblis serta merta berundur!
Kali ketiga aku melihat
iblis sedang duduk agak jauh daripadaku. Iblis sedang mengesat airmatanya dan
menyapu debu atas kepalanya. Iblis berkata. “Aku telah berputus asa dengan
engkau ya Abdul Qadir!
Aku berkata keras
kepada iblis, “Pergi engkau daripada sini wahai engkau yang dilaknat Allah!”
Setelah iblis
berputus asa menggoda dan menyusahkan Shaikh Abdul Qadir Jilani, Iblis menyamar
sebagai satu cahaya yang sangat terang benderang dalam rupa yang amat indah.
Cahaya terang dan indah itu lalu muncul di hadapan Syeikh seraya berkata:
“Ya Abdul Qadir,
aku Tuhanmu. Oleh kerana engkau telah bersungguh-sungguh mujahadah padaku maka
pada hari ini aku telah menghalalkan bagi kamu segala yang aku haramkan!”
Maka segera Syeikh
menyahut, “A’uzhu billahi mina-asy-syaitanir-rajim...pergiah engkau wahai Iblis
yang dilaknat.”
Ketika itu cahaya
seperti kepulan awan itu bertukar menjadi asap pekat dan gelap. Dan terlihatlah
Iblis. Lalu Iblis itu berkata, “Ya Abdul Qadir, bagaimana engkau tahu aku ini
Iblis?” Sedangkan berapa banyak para wali Allah dan orang alim telah aku
sesatkan sebelum kamu dengan cara ini.”
Syeikh menjawab,
“Allah Ta’ala telah menyatakan hukum di dalam Al-Qur’an. Dan dia tidak pernah
menghalalkan yang haram”. Maka aku tahu tentu engkau Iblis.
Iblis menjawab,
“Engkau telah selamat disebabkan ketinggian ilmu engkau”
Syeikh menjawab
kembali, “Binasalah engkau wahai iblis! Aku terselamat bukan kerana ilmuku tetapi
kerana Rahmat Tuhanku.” Maka kembalilah Iblis berputus asa tak dapat menggoda
Syeikh Abdul Qadir
Di tangannya lebih
5,000 orang Kristian dan Yahudi memeluk Islam. Lebih kurang 100,000 orang
perompak bertaubat kepada Allah.
Berdasarkan
pengalaman Syeikh Abdul Qadir Jailani ini dapatlah kita ambil pengajaran bahawa
iblis dan sekutunya tidak pernah berputus-asa untuk menyesatkan anak Adam.
Sehinggakan
menyamar dalam bentuk Cahaya yang terang dan indah. Penyamaran yang seperti ini
selalu berlaku pada salik yang bersuluk kehadiran cahaya dalam pelbagai warna
dan menjelma mengaku Tuhan dan sebagainya.
Jadi berwaspadalah kita dalam
kehidupan ini. Khususnya bagi salikin, pengamal ilmu hikmah dna kebatinan,
jelmaan iblis dan syaitan sebagai Tuhan, malaikat dan nabi tertentu sangat
menipudayakan sekali. Apatah lagi kalau jelmaan yang mengaku itu dan ini kita
jadikan sebagai sandaran dalam kehidupan ini sama ada sebagai medium pengubatan
dan juga pemerolehan ilham kerana semestinya ia mengheret kita ke jalan
kesesatan sedikit demi sedikit.
Melainkan makhluk
itu datang dengan sendirinya namun dari segi akhlak sufi sejauh mungkin
hindarilah daripada ia berdamping dengan kita. Sekalipun Syeikh Abdul Qadir
Jailani tidak pun menekan siapa yang menolongnya sama ada malaikat atau makhluk
Allah yang lain. Tetapi kita berani pula membuat satu doa permohonan atau
rangkaian bacaan tertentu dengan kononnya memohon khodam dan malaikat daripada
Allah untuk menolonng kerja dunia kita maka ini membuka ruang besar terhadap
kesesatan.
Semoga kita sentiasa mendapat
hidayahNya dan terselamat daripada tipu daya iblis dan sekutunya. Allahurabbi!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan