Rabu, 27 Julai 2011

Ramadhan Semakin Menjengah, Ilmu Terus Ditimba

Salam.

Ramadhan yang kian menjengah, tetapi ilmu tetap ditimba, begitulah nasihat Sang Guru kepada murid-muridnya. Ramadhan bukanlah alasan untuk kita berhenti daripada tugas hakiki iaitu menuntut ilmu pengetahuan. Ada orang berkata apabila berpuasa, tidak makan dan tidak minum, maka tiada tenaga untuk bekerja apatah lagi menggunakan aqal untuk menuntut ilmu. Tanggapan ini boleh dibahaskan. Apabila aqal dikatakan lemah apabila berpuasa, sebenarnya bukanlah aqal kerana aqal tidak pernah lemah. Cuba renungkan, jika akal lemah dia tidak akan memproses data dan kata-kata alasan demikian. Maknanya kata-katanya itu lahir daripada proses akal beraktiviti. Oleh itu banyak orang mengatakan lemah apabila membuat sesuatu kerja tetapi aqalnya tidak pernah lemah memberikan alasan-alasannya!

Ilmu adalah cahaya. Ilmu adalah sinar kefahaman. Ilmu ialah lampu suluh. Ilmu ialah sumber kekuatan jiwa. Ilmu ialah pembetul akhlak. Ilm ialah pelurus kaedah. Ilmu ialah kekasih aqal. Ilmu ialah rahsia hati. Ilmu ialah makrifatullah.

Tingkat yang akhir daripada makna ilmu di atas membawa makna yang trasendental sifatnya. Oleh sebab itu penggalian ilmu sama ada melalui buku atau karya sedia ada disertai dengan penggalian penemuan baharu dan penjabarannya ke tengah talib dan seterusnya didakwahkan ke tengah masyarakat merupakan dasar kepada pembinaan peradaban bangsa dan negara kita.

Hati ibarat raja. Anggota ibarat menteri. Jika baik raja baiklah menteri. Jika jahat hati jahatlah anggotanya. Ilmu ibarat mufti atau ulamak yang senantiasa berdamping dengan umara'. Tanpa ulama', umara' akan pincang. Begitu juga keadaan diri kita ibaratnya sebuah negara-jika tidak diurus tadbir dan diurus kelola dengan baik dan benar pastilah berlaku  ketidakseimbangan dan kezaliman misalnya menggunakan tangan untuk mengambil hak orang lain tanpa izin (mencuri) mengakibatkan kemurkaan Allah dan jatuh hukum hudud. Justeru amatlah penting hati itu dinasihati oleh ilmu, cahaya dan kefahaman yang jelas tentang sesuatu perkara, letak duduknya secara adil dan wajar di alam ini.

Ramadhan semakin menjengah, ilmu terus ditimba merupakan suatu jihad yang agung. Ini bukan bermakna jihad akhbar iaitu mengangkat senjata melawan kafir jahat yang memusuhi Islam terang-terang itu harus diketepikan tetapi dengan ilmu yang kukuh ia akan menguatkan lagi jihad akhbar kita. Tambahan musuh kini bertebaran di mana-mana-usaha mengubah ideologi dan pandangan alam kita lebih mudah daripada memaksa kita keluar daripada agama Islam.

Dan sejarah telah membuktikan itu sangatlah sukar untuk dilakukan ke atas orang Islam!

Hanya mengubah idelogi dan pandangan alam umat Islam maka mudahlah musuh menjarah diri kita semua. Maka untuk menghalang perkara ini berlaku berhajatkan kepada ilmu. Ilmu hikmah merupakan ilmu amalan ulamak silam yang mempunyai sejuta satu faedah yang tiada terungkap dengan kata-kata paling lengkap sekalipun. Dalam ilmu hikmah terdapat wiridnya dan lakunya yang khusus membuatkan kita sentiasa menggunakan masa untuk mencari redhaNya. Ia menjauhi penyakit alpa dan lalai. Ini bukan bermakna kita harus sentiasa di tikar solat sehingga melupakan dunia. Tetapi untuk menyediakan masa khusus untuk ibadah kita dan wirid kita setiap hari lantas mengelakkan kita terpasung di hadapan kaca tv atau bersama rakan-rakan bergebang tak tentu halanya.

Dengan adanya laku khusus dan wirid khususnya insya Allah dipancarkan kepada kita akan rahmat dan ilmuNya yang agung yang tiada dapat diperolehi pembelajaran sekular. Ilmu inilah yang semakin jarang umat mendapatkanya melainkan banyak didorong oleh semangat akal yang pendek sahaja. Aqal itu haruslah dipancarkan cahayaNya agar ia bisa mengenal mana yang haq mana yang bathil; mana yang adil mana yang zalim ; mana yang tepat mana yang tersasar!

Begitu juga ilmu hikmah itu membijaksanakan akal bukan menguranginya sebagaimana kita fahami. Ilmu ialah makrifatullah-tujuan akhir pengilmuan insan.

Ya Allah jadikanlah kami bersama orang yang mendapat rahmat dan ilmuMu DAN jauhilah hamba daripada segala perbuatan keji, perbuatan sia-sia membuang masa, wang dan tenaga tanpa ada keridaanMu. Moga setiap denyut nafas kami dalam ruang hajat menuntut ilmu dan tidur kami dalam tidur orang berilmu dan mati kami dalam keadaan kami berilmu!

Amin Ya rabbal Alamin!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ADA PADLOCK DI ATAS BATANG LEHER TOK GURU

ADA PADLOCK DI ATAS BATANG LEHER TOK GURU Salah satu kes yg pernah saya tangani ialah kes gangguan keatas seorang Tok Guru yg terkenal.  Pad...